Salam dari Kota Bharu Kelantan

Posted in Salam Penulis on March 6th, 2009 by yiemega

Assalamualaikum w.b.t,

Terlebih dahulu penulis ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini kerana kesibukan tugas sebagai Kaunselor Pelatih di SMK Zainab 2 Kota Bharu, Kelantan. Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya penulis dapat meluangkan sedikit masa untuk mengemaskini blog ini.

Pada kesempatan ini penulis ingin mencoretkan sedikit pengalaman penulis sebagai Kaunselor Pelatih SMK Zainab 2 untuk dikongsikan bersama pembaca setia blog ini untuk menjadi rujukan kepada semua terutamanya kaunselor-kaunselor di sekolah lain.

Tugas sebagai Kaunselor Pelatih ini agak mencabar kerana tugas kita memerlukan kesabaran yang tinggi di dalam mengendalikan pelajar-pelajar yang beraneka ragam. Pelajar Sekolah pada hari ini tidak sama seperti pelajar sekolah pada masa dulu, perangai mereka juga berbeda jika dibandingkan di zaman penulis bersekolah dahulu.

SMK Zainab 2 letaknya di tengah-tengah Bandaraya Kota Bharu, Kelantan dan sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah bandar. Memang banyak cabaranya bertugas di sekolah ini.

Pelajar-pelajarnya juga beraneka ragam, sebagai sekolah yang terletak di tengah bandar, mereka mudah terdedah dengan anasir-anasir luar seperti punk, gothic dan filem lucah yang mudah dilayari di kafe-kafe siber sekitar bandaraya Kota Bharu namun penulis menganggap ia hanyalah cabaran yang perlu penulis harungi demi mendidik anak bangsa dan melahirkan modal insan yang terbilang.

Boleh dikatakan hampir  50% Pelajar sekolah ini mengalami kekurangan kasih sayang ibu-bapa kerana kebanyakkan ibu-bapa mereka bekerja, malah ada yang celik mata di dinihari tidak melihat ibu dan bapanya, dan saat matanya di pejam di malam hari tidak dapat juga melihat raut wajah ibunya atau dengan kata lain rata-rata mereka dibesakan dengan kasih sayang wang ringgit bukan kasih sayang yang kekal abadi selamanya.

Pelajar yang kurang mendapat curahan kasih daripada ibu bapa mereka berpotensi besar untuk menjadi pelajar yang bermasalah disiplin dan tidak hairanlah sekiranya kebanyakkan pelajar yang mempunyai rekod disiplin adalah pelajar yang kurang mendapat curahan kasih daripada ibu bapa mereka.

Kebanyakkan ibu-bapa pelajar di sekolah ini meletakkan tanggungjawab curahan kasih pada guru-guru sekolah ini dengan harapan agar anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna walhal pada masa yang sama mereka tidak sedar yang tanggungjawab mereka sudah terabai.

Jika berlaku sebarang masalah disiplin membabitkan pelajar, rata daripada mereka akan menyalahkan pihak sekolah dan memberikan hukuman yang melampau terhadap anak mereka walaupun itu adalah kesalahan pertama anak mereka sebagai contoh baru-baru ini ada salah seorang pelajar yang ponteng kelas dan sampai ke pengetahuan ibu dan bapanya.

Kelakuan pelajar tersebut menyebabkan ibu-bapa mereka naik minyak, dan ibu bapa pelajar tersebut telah bertindak di luar dugaan dengan menampar anak mereka tersebut di khalayak ramai sebanyak dua kali.

Kali pertama di warung kopi berhadapan dengan pintu pagar sekolah dan kali kedua di dalam bilik darjah. Secara rasionalnya penulis amat tidak bersetuju dengan tindakan ibu-bapa pelajar ini kerana ia bakal membuatkan pelajar akan memendamkan dendam kerana dia mempunyai hati dan perasaan, tindakan ibu-bapa pelajar ini juga boleh membawa kepada kecelekaan yang dasyat dan tidak mustahil la pelajar ini sewaktu mereka sudah berkerjaya kelak mereka akan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua pada waktu itu menangis keluar air mata darah sekalipun tidak berguna lagi.

Perlu diingatkan di dalam kita menghukum anak-anak kita dalam masa yang sama kita perlu pastikan agar hati anak-anak kita tidak terluka umpama ditusuk sembilu, ingat mereka juga manusia biasa seperti kita yang mempunyai hati dan perasaan jangan perlakukan mereka seperti binatang ternakan. Nasihatila anak anda dengan menggunakan cara psikologi kerana ia lebih berkesan berbanding menghukum.

Reblog this post [with Zemanta]
Tags: , , , , , , , , , , , , , ,