Memperkasakan Perjuangan “Alif, Ba, Ta” dalam UMNO

Posted in PK Politik, PK Semasa on April 5th, 2008 by yiemega

Semalam Ketua UMNO Bahagian Gua Musang YBM Tengku Razaleigh Hamzah telah memperkatakan Perjuangan “Alif, Ba, Ta” sudah tidak diberi keutamaan lagi oleh Pucuk Pimpinan Parti dan sebab itulah sokongan kepada UMNO semakin berkurangan.  Mari kita kaji apa itu perjuangan “Alif, Ba, Ta” yang terkandung dalam perjuangan asal UMNO.

Alif

Alif disini mewakili Agama. Mengikut Perlembagaan Malaysia Melayu ialah mereka yang beragama Islam, jadi ia bermakna agama yang dimaksudkan di sini ialah Islam. Perjuangan memartabatkan Islam juga semakin dilupakan oleh UMNO. Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah bukan melambangkan Islam sebenar.

Ba

Ba yang bermaksud Bangsa, Bangsa disini mewakili bangsa Melayu. Kalau kita lihat tujuan asal UMNO adalah untuk menyatukan bangsa Melayu. Jelas sekali pada Zaman Pak Lah Melayu berpecah belah.

Ta

Ta di sini mewakili kepada Tanah Air. Tanah air bermaksud Malaysia. Sepatunya Pak Lah memberi penekanan dalam urusan yang melibatkan Tanah Air tetapi jelas Pak Lah telah meminggirkanya ini terbukti dengan kenaikkan harga barangan dan minyak.

 Oleh itu, bagi mengembalikan perjuangan Alif, Ba, Ta di dalam UMNO Penulis merayu agar semua Ahli UMNO seluruh negara memberi peluang kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerajui UMNO

Tags: , , , , , , , , , , , , ,

Biodata YBM Tengku Razaleigh Hamzah

Posted in PK Politik, PK Semasa on April 4th, 2008 by yiemega

NAMA PENUH : YBM Tengku Razaleigh Hamzah

TARIKH & TEMPAT LAHIR: 13 April, 1937 Kota Bharu, Kelantan

Kelayakkan: Universiti: Queen’s University, Belfast,

AKADEMIK:

Ireland Utara dengan Ijazah B.Sc (Econ) 1959

Melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn, London, hingga 1961, Anugerah Doktor Kehormat Undang-undang

(LLD) oleh Queen’s University, Belfast, Ireland Utara 1982

ANUGERAH:

D.K. (Darjah Kerabat) - Kelantan 1978

S.P.M.K. (Kelantan) - 1967

P.S.M. (Persekutuan) - 1973

S.S.A.P. (Pahang) - 1980

S.P.M.S. (Selangor) - 1982

Terpilih:

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Malaysia 1970-1976

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia 1973 – 1976

Presiden ASEAN Chambers of Commerce 1975-1976

Pengerusi Asian Development Bank 1976 - 1977

Pengerusi Board of Governors, World Bank dan International Monetary Fund 1977-1978

Pengerusi Bank Pembangunan Islam 1978

PENGLIBATAN KORPORAT:

1965 - 70 Pengarah Eksekutif, Bank Bumiputra Malaysia Berhad

1970 - 74 Pengerusi PERNAS (Mengetuai Delegasi Perdagangan yang pertama ke Republik Rakyat China pada tahun 1971)

1974 - 1976 Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Petroliam Nasional Berhad

5.3.76 – 1.8.84 Menteri Kewangan Malaysia

1984 - 87 Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia

PENGLIBATAN POLITIK:

1962 – 66 Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan (5 tahun)

1966 – 72 Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan (5 tahun)

1972 - 84 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan hingga Jun 1984 (12 tahun)

1973 – 81 Naib Presiden UMNO Malaysia

1973 – 84 Bendahari UMNO Malaysia

1978 – 84 Pengerusi Barisan Nasional Negeri Kelantan

1969 - 74 Terpilih jadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat

1987 Bertanding jawatan Presiden UMNO, kalah dengan hanya 43 undi

1988 UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

1988 Dipilih sebagai Presiden Parti Semangat 46, sebuah parti yang ditubuhkan atas cadangan oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman untuk menyambung aspirasi asal UMNO.

1990 – 96 Ahli Parlimen Gua Musang (sebelum ini dikenali Ulu Kelantan) di bawah tiket Semangat 46. Terpilih semula sebagai Ahli Parlimen Gua Musang pada tahun 1995 dan terpilih sekali lagi sebagai Ahli Parlimen Gua Musang di dalam pilihanraya kecil 29.8.95)

1996 Bubar Parti Melayu Semangat 46

pada 6.10.96 dan menyertai UMNO pada 8.10.96

1999 Dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri

Kelantan – Jun 1999

2004 Terpilih semula sebagai Ahli Parlimen Gua Musang di bawah tiket Barisan Nasional

2008 - Dipilih sekali lagi sebagai Ahli Parlimen Gua Musang di bawah tiket Barisan Nasional.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Mengembalikan Kekuasaan Melayu Melalui UMNO

Posted in PK Politik, PK Semasa on April 4th, 2008 by yiemega

Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, Semasa Merasmikan Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang, Bertempat Di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang Pada Hari Jumaat 4hb April, 2008, bersamaan 27hb Rabiulawal, 1429 Jam 10.00 pagi
Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah Izin-Nya, kita semua dapat bertemu di perjumpaan ini pada ketika kita sedang menghadapi pengalaman yang sangat pahit dan membimbangkan kita semua, iaitu pengalaman buruk yang dilalui oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang baru lepas. Sejak tertubuhnya UMNO pada 11 Mei, 1946, parti kebangsaan Melayu ini tidak pernah tercabar begitu hebat – dan teruk – seperti yang berlaku padanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 itu. UMNO lahir dari semangat perjuangan kebangsaan menentang muslihat dan gagasan British untuk menghapuskan kedaulatan bangsa Melayu, negeri Melayu dan raja Melayu di tanah air mereka sendiri. Kita berjaya menumpaskan gagasan penjajah itu dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan hanya dengan bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air. Itulah agenda kebangsaan Melayu waktu itu dan itulah sumber kekuatan yang telah menyatukan bangsa Melayu sehingga kita akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan tanpa terpaksa berperang kerana pihak British menyedari bahawa bangsa Melayu waktu itu mempunyai kekuatan sejarah dan warisan yang kuat, dan sukar ditentang.

2. Kekuatan UMNO itu terbukti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pertama yang diadakan dalam tahun 1955. Parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO dengan dukungan rakan-rakan dari MCA dan MIC mencapai kemenangan yang cemerlang. Daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan (sekarang Parlimen) yang ditandingi, Perikatan memenangi 51 kerusi dan menguasai lebih 2/3 atau hampir 95% kerusi Majlis Perundangan Persekutuan. Yang penting kita ingatkan diri kita semula ialah, kerusi UMNO melebihi 2/3 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan dengan memenangi 33 kerusi. Ini bererti bahawa kuasa politik Melayu pada waktu itu cukup kuat dan itulah salah satu asas ketuanan bangsa Melayu.

3. Malangnya kita tidak bertahan dan tidak mampu memperkukuhkan kedudukan itu dalam pilihan-pilihan raya berikutnya. Empat puluh tahun kemudian, iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dalam tahun ini, UMNO jatuh tarafnya sebagai parti yang terkuat dan yang didukung oleh majoriti orang Melayu tiba-tiba jatuh menjadi parti yang kecil perwakilannya dalam Parlimen padahal parti ini adalah parti yang terbesar di negara ini, mempunyai 191 Bahagian di seluruh Malaysia dan jumlah anggotanya melebihi 3 juta orang. UMNO cuma berjaya memenangi 78 buah kerusi Parlimen, menurun sebanyak 32 buah kerusi dari jumlah 110 buah kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-11.

4. Yang memeranjatkan kita ialah, parti baru, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi Parlimen. Dalam tahun 2004 parti ini cuma mempunyai seorang ahli Parlimen. Daripada 31 ahli parlimen PKR itu, 18 ialah orang Melayu. PAS memenangi 23 kerusi. Dalam tahun 2004 parti ini mempunyai 6 orang ahli Parlimen sahaja. Akibatnya, BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 majoriti dalam Parlimen.

5. Dua perkembangan lain yang tidak disangka-sangka oleh UMNO (tetapi mungkin tidak memeranjatkan orang lain) ialah pertama, jatuhnya empat buah negeri – Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - ke tangan parti Pakatan Rakyat, iaitu gabungan parti PAS-PKR-DAP. PAS di Kelantan menjadi bertambah kuat. Dan kedua, kalahnya banyak calon MCA, MIC dan Gerakan di tangan calon DAP dan PKR.

6. Itu petanda bahawa BN dan UMNO yang telah memerintah negara ini dengan tidak putus-putus sejak Merdeka atau sejak tahun 1955 tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia dari semua kaum. Berdasarkan statistik tentang kadar jumlah undi popular seluruh rakyat Malaysia, didapati bahawa hanya 48% sahaja daripada pengundi seluruh negara yang menyokong (mengundi) BN, manakala jumlah undi popular seluruh negara yang menyokong parti-parti lawan ialah 52%. Jadi, mesej atau isyarat pengundi agak terang dan jelas: Mereka mahukan perubahan kerajaan. Mereka mahukan kerajaan yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.

7. Beberapa perkembangan yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 itu diadakan, memperkuatkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap keupayaan dan komitmen kerajaan BN untuk memerintah negara ini dengan cekap, bersih, amanah dan adil, untuk menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi, sosial, perumahan dan pendidikan rakyat miskin, untuk menghapuskan rasuah yang semakin menjadi-jadi di kalangan ‘orang atasan’ dan yang berkuasa, termasuk dari kalangan wakil rakyat sendiri. Kita sebut satu kes sahaja, iaitu kes yang berkaitan dengan ‘rakaman video Lingam’ yang didedahkan kepada Suruhanjaya yang dilantik untuk mendengar kes ini. Segala cerita yang disampaikan kepada Suruhanjaya kes ini memperlihatkan kepada rakyat betapa korap dan lemahnya sistem pelantikan dan cara membuat keputusan mahkamah. Bayangkan, seorang peguam bela dalam kes tertentu boleh menulis keputusan (‘judgement’) mahkamah dan hakim yang berkenaan hanya membaca keputusan yang telah disediakan oleh peguam itu. Bayangkan juga, para tauke atau tauke judi boleh ‘campur tangan’ dalam soal pelantikan hakim.

8 Kes seperti ini tidak sahaja mengaibkan darjat hakim – hakim bangsa Melayu beragama Islam pula – tetapi ia dengan jelas memusnahkan kredibiliti kerajaan BN yang nampaknya membiarkan perkara-perkara yang buruk dan dahsyat itu berlaku terhadap sistem kehakiman negara. Orang akan takut untuk menghadapi mahkamah yang dikendalikan oleh hakim yang boleh dibeli.

9. Ada beberapa kes lain – ada yang masih belum selesai, iaitu masih dalam proses pembicaraan – yang juga tidak kurang besar pengaruhnya terhadap sentimen dan pola pemilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Tidak usah saya sebutkan kes-kes itu – saudara sekalian yang membaca surat khabar tentu mengetahuinya.

Apakah Respons Kita Terhadap Kemerosotan Kuasa Politik UMNO Ini?

10. Sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada UMNO dan BN. Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan UMNO dari semua peringkat – peringkat Bahagian dan Cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang. Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

11. Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh menuduh dari orang-orang perseorangan UMNO, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri UMNO. Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, ‘BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya’; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu ‘tidak mengenang jasa’ (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka ‘tidak faham perjuangan UMNO’ atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, UMNO dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti UMNO’ dalam Internet.

12. Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik. Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan. Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka. Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi UMNO tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh UMNO sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan UMNO yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi UMNO tetapi ialah kelemahan kepimpinan UMNO, ini termasuk para menteri UMNO, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik. Merekalah yang tidak mahu UMNO berubah; merekalah yang mahu kepimpinan UMNO yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

13. Masalah UMNO bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli UMNO. UMNO bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. UMNO ialah parti politik kebangsaan Melayu. Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’. Apabila UMNO tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat UMNO akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akanditinggalkan oleh bangsa Melayu.

14. Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota UMNO sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.

(Tiga Perubahan Besar Yang Harus Berlaku dalam UMNO)

15. Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat UMNO. Untuk menangani sesuatu darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan UMNO yang telah dibina sejak tahun 1946. Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan UMNO yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup UMNO selama 60 tahun, untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan UMNO selama ini dan memikirkan visi baru UMNO untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Rakyat hari ini tidak sama lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas. Harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka. UMNO perlu terus relevan dengan cita-cita, harapan dan tuntutan mereka.

16. Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan UMNO, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan UMNO (dan BN) nyaris-nyaris terlungkup dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pertama: Musnahnya Demokrasi dalam UMNO.

17. Ini bermula apabila Perlembagaan UMNO dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian UMNO. Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian UMNO. Tujuannya kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain. Saya tidak fikir anggota UMNO yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati sahaja akan mencabar presiden UMNO, lebih-lebih lagi jikalau Presiden itu diketahui oleh semua anggota parti sebagai pemimpin yang baik, cekap, bijak, adil, bersih dan tegas. Sebelum kuota itu diperkenalkan UMNO pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja. Ini ‘peraturan’ yang munasabah dan tidak terlalu ‘undemocratic’.

18. Parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri, bagi saya, ini adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa. Parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik. Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik. Orang lebih taat kepada pemimpin daripada kepada parti dan perjuangan parti. Rasuah politik akan dan memang sedang berlaku dalam parti sebagai cara untuk membeli undi atau untuk mengekalkan kedudukan pemimpin yang lemah. Maka lahirlah banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’ dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

19. Inilah keadaan yang berlaku dalam UMNO hingga sekarang. Setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi. Sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian. Memilih pemimpin parti dari peringkat Presiden hingga ke peringkat pemimpin akar umbi adalah hak anggota parti.

20. Jadi, untuk menyelamatkan UMNO dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam UMNO. Saya mengesyorkan dua perubahan: Pertama, kuota yang ada itu dihapuskan dan kedua, parti hendaklah mengawal kerajaan.

21. Ahli UMNO yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh lebih berkuasa dari parti. Partilah yang seharusnya mengawal, memantau dan menilai prestasi mereka. Jika mereka menjalankan dasar yang bertentangan dengan dasar parti, mereka boleh dipersoalkan oleh Majlis Tertinggi UMNO. Logik cadangan ini mudah dan jelas: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri dari UMNO tidak akan memegang jawatan itu sekiranya mereka tidak lebih dahulu dipilih oleh perwakilan UMNO sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti dan oleh rakyat sebagai ahli Parlimen. Kalau P.M yang juga Presiden UMNO menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan bahasa Melayu dan agama Islam, maka dia mesti ditegur dan didisiplinkan oleh parti. UMNO perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai dan cekap untuk melaksanakan sistem ‘parti mengawal kerajaan’ ini.

Kedua, Dasar dan Visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

22. Dasar dan visi UMNO yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif, Ba, Ta, seperti yang saya sebutkan tadi, tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan hidup ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, UMNO hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum. Kita mahu UMNO menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan ‘visi tradisionalnya’: iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan. Dasar dan perjuangan parti UMNO ini tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.

23. Imej UMNO selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis: Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah: UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala. UMNO dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin. Ini memarahkan orang Melayu. Di samping ini orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen UMNO untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Institusi Raja-Raja Melayu ialah institusi yang tertua di Tanah Melayu dengan usianya melebihi 700 tahun dan institusi inilah yang menjadi salah satu penyelamat tamadun Melayu walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan British. Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekal sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa. Imej kedua ialah imej UMNO di mata orang bukan Melayu, iaitu: mereka menganggap UMNO ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain; UMNO dianggotai oleh orang Melayu yang ‘fanatik Melayu’, suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain, entah apalah sebabnya. Imej UMNO yang ketiga ialah imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’ di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum. Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu.

24. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat UMNO. Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau di-Islamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada UMNO terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin UMNO Kelantan.

25. Inilah cabaran yang dihadapi oleh UMNO hari ini. UMNO terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Ketiga: perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan

26. Kita perhatikan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12, kelakuan beberapa calon UMNO tidak beradab. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen UMNO memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon Parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di K.L memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Aziz, MB Kelantan. Bahkan seluruh jentera UMNO digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam.

27. Saya faham, PAS ialah parti lawan UMNO tetapi bukan itulah caranya orang Melayu-Islam cuba mengalahkan pihak lawan sesama bangsa dan sesama agama. Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu – bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun – meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng. Akhirnya, kita kalah – kalah lebih teruk daripada dalam tahun 2004, bukan kerana dasar UMNO tidak baik tetapi kerana orang UMNO itu yang tidak baik, dan merekalah yang merosakkan imej parti.

28. Saya rasa kelakuan yang semakin biadab itu timbul daripada beberapa sebab, antaranya dapat kita sebut: (a) kerana terlalu yakin pada kekuatan parti – dan tidak nampak apakah kelemahannya – lalu orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi ‘Aku akan menjadi Menteri Besar’ atau akan menjadi menteri jika dipilih; (b) ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik UMNO untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam UMNO untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi UMNO. Jiwa dan roh Melayu orang UMNO mulai digantikan dengan ‘rohperut’ . Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam UMNO.

29. Jadi, untuk menyelamatkan UMNO, kita kena buang segala anggota UMNO di atas itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana. Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh UMNO untuk menjadi pemimpin mereka. Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat. Mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu.

30. Mungkin banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan oleh UMNO yang menjadi punca kelemahan UMNO. Kita tidak boleh menyerahkan semua perkara ini kepada beberapa orang pemimpin sahaja untuk memikirkannya. Mereka boleh jadi tidak mempunyai ‘feed-back’ yang cukup, yang benar, yang ikhlas dari bawah, dari anggota akar umbi UMNO, untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dalam UMNO yang menyebabkan parti nyaris-nyaris tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

31. Inilah sebabnya mengapa saya menggesa supaya Perhimpunan Agung Khas itu diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan. Kita tidak mahu nanti perwakilan yang datang ke persidangan pemilihan itu datang seperti fiil lama, tidak mengetahui apakah kelemahan dan masalah UMNO, lalu mereka memilih atau disuruh memilih calon-calon yang sama, yang lemah untuk memimpin parti.

32. Kalau begitu gayanya, saya khuatir kita akan mengalami malapetaka yang lebih buruk lagi.

Tags: , , , , , , , , , , ,

Ucapan YBM Tengku Razaleigh dalam EGM UMNO Gua Musang

Posted in PK Hiburan on April 4th, 2008 by yiemega

Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah pagi ini berkata bahawa sebahagian dari punca kegagalan UMNO dalam Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008 lepas di 5 + 1 negeri dan prestasi buruk seluruh negara merupakan imej buruk dan persepsi rakyat keatas beberapa personaliti Kepimpinan.

Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, semenjak 1962 itu dan Ahli Parlimen Gua Musang, semenjak 1969 itu memberi maksud PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, seorang pemimpin yang “Kelihatan ‘bersih” semasa mula mula diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Januari 1999, kini dilanda pelbagai kontroversi dan skandal, termasuk rasuah dan salah gunakuasa dan penglibatan keluarga terdekat dalam pentadbiran.

Tengku Razaleigh merupakan pemimpin UMNO pertama yang mengesa agar UMNO mengadakan satu mesyuarat agung luarbiasa (EGM) untuk membincangkan PRU 12 dan halatuju UMNO dan Melayu, dalam surat kepada 18,000 Cawangan UMNO seluruh negara pada 10 Mac 2008. Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dan menyokong usaha Tengku Razaleigh ini.

Oleh sebab itu, Tengku Razaleigh pagi ini juga menegaskan bahawa UMNO “Sudah lari dari matlamat dan keujudan asal, sebagai organ politik yang memperjuangakan dan menjaga kepentingan Bangsa Melayu” dan beliau dengan lantang mendesak agar ahli UMNO disemua peringkat bergerak untuk membetulkan keadaan yang mungkin akan merugikan orang Melayu secara jangkamasa dekat dan strategik. Tengku Razaleigh juga menjelaskan keangkuhan pemimpin UMNO, terutama Kepimpinan mengakibatkan Parti Keadilan Rakyat, satu parti yang hampir pupus dan tidak mendapat sokongan itu, sebagai wadah perjuangan rakyat.

Kepimpinan UMNO juga terlampau yakin (over confident) dan ’salah-perkiraan’ ketidak puasan hati dan kemarahan rakyat. PM ‘Flip-Flop’ Abdullah juga dengan angkuhnya mengungkap “Jangan cabar saya!” pada Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO pada 9 Mac 2008 dan pada 10 Mac 2008, rakyat membuktikan sebaliknya dan lebi 50,000 orang berdemonstrasi dari Dataran Merdeka ke Istana Negara. Ini merupakan tanda awal yang amat jelas, yang diabaikan oleh Kepimpinan.

Beliau juga mendesak agar “UMNO perlu bangun dan buang pemimpin yang kotor, lemah dan tidak menguntungkan orang Melayu”. Jelas ini merupakan gesaan yang sehaluan mantan Presiden UMNO pada 9 Mac 2008 dan surat peribadi Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir kepada PM ‘Flip-Flop’ Abdullah pada 12 Mac 2008.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,

12 Dalil Mengapa YBM Tengku Razaleigh Perlu Jadi Presiden UMNO

Posted in PK Politik, PK Semasa on April 2nd, 2008 by yiemega

Penulis ingin mengutarakan satu topik yang panas yang mampu membuat orang terpukau. Di saat ini UMNO memerlukan pemimpin baru yang bakal memberi nafas baru kepada UMNO.  Maaf cakap, penulis ni bercakap kerana merasa terpanggil untuk memperbaiki prestasi UMNO yang kini umpama ‘telur di hujung tanduk’ atau lebih tepat lagi pada masa ini ‘lubang kubur UMNO sudah digali’. Kalau Ahli UMNO masih berperangai ‘kita mesti sokong Presiden kita’ dan ahli UMNO yang takut bersuara pun berkata ‘ya kita sokong’ tidak mustahil Pilihan Raya Umum yang bakal mendatang UMNO hanya tinggal dua nisan sahaja seperti bait-bait lagu yang terkandung di dalam lagu Nyayian XPDC.

Penulis ingin mengariskan beberapa dalil kenapa kita perlu pilih YBM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden baru UMNO:

  1. YBM Tengku Razaleigh adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan senang untuk didekati rakyat.
  2. YBM Tengku Razaleigh adalah berdarah Raja jadi senang kita hendak menyelesaikan perkara-perkara yang melibatkan Istana dan juga mengembalikan kepercayaan institusi diraja kepada UMNO yang tercalar sekarang.
  3. YBM Tengku Razaleigh mempunyai kepakaran di dalam bidang ekonomi ia akan memberi satu nafas baru kepada ekonomi Malaysia.
  4. YBM Tengku Razaleigh mempunyai kepimpinan yang baik, integriti dan tegas.
  5. YBM Tengku Razaleigh dihormati rakyat.
  6. Kita memerlukan pemimpin yang memimpin bukan pemimpin yang dipimpin.
  7. Dulu UMNO membawa maksud Untuk Membela Nasib Orang-ramai sekarang orang melabelkan UMNO sebagai Undur Menantu Negara Ok.
  8. Kita perlukan reformasi ke atas UMNO sekarang ahli. Ada dua kaedah reformasi yang boleh dibuat di dalam UMNO, pertama sekali apa yang kita kata ‘reformasi dari dalam’ atau penulis lebih suka menggunakan perkataan ‘penghijrahan sikap’ ahli memandangkan ‘reformasi’ merupakan perkataan dari barat tidak sesuai dengan titik normal masyarakat Islam kita. Kalau kita buat ini tiada siapa yang rugi UMNO akan terus relevan. Khidmat YBM Tengku Razaleigh diperlukan di dalam usaha ini. Satu lagi kaedah ialah ‘reformasi dari luar’  kaedah ini amat berbahaya kerana ia bakal membuat UMNO berkubur. Apa yang dimaksudkan dengan ‘reformasi dari luar ialah’ rakyat akan mengundi pembangkang dan pada masa itu UMNO sudah menjadi parti pembakang jika bernasib baik tetapi mungkin lebih teruk daripada itu.
  9. Proses pembersihan dan meningkatkan kredibiliti dan intergriti pemimpin juga memerlukan khidmat YBM Tengku Razaleigh yang terkenal dengan sifat intergritinya sekaligus mengembalikan maruah UMNO yang sudah tercalar.
  10. Kestabilan Ekonomi juga merupakan faktor yang penting untuk memastikan rakyat terus menyokong kita jadi kita perlukan ’sentuhan emas’ dari seorang Pemimpin yang bergelar KU LI ini yang juga mempunyai kepakaran di dalam bidang ‘ekonomi’.
  11. Anda perlu pilih antara dua, pertama Adakah anda sayang Pak Lah atau kedua Adakah anda Sayang UMNO? Jika anda rasa UMNO lebih penting daripada Pak Lah apa salanya anda menyokong YBM Tengku Razaleigh sebagai Presiden Baru UMNO. Bak kata Nabil Raja Lawak 2 ‘lu fikir lah sendiri’.
  12. Kita sebagai ahli UMNO harus sedar kita mesti berani berubah dan merani mengubah kerana jika kita tidak berani berubah dan mengubah kita masih di takuk lama menanti kapal yang bakal tenggelam dibadai ombak ‘reformasi dari luar’.

Begitulah 12 dalil yang sempat penulis coretkan pada hari ini. Semoga ia memberi sedikit panduan kepada ahli-ahli UMNO untuk bersuara ‘yang mana yang benar katakan benar’ yang mana yang salah katakan salah’ Anda tidak sepatunya menjadi pak turut lagi.

Penulis ingin menghadiahkan beberapa pantun empat kerat untuk ahli UMNO yang disayangi.

Kedai emas ada jual cincin,
Namun kami tak mampu beli,
Tiba Masa Pak Lah Pencen,
Berikan peluang kepada Ku Li,

Rakyat Kelantan orang berdikari,
Usah diragu Ku Li Tawarkan Khidmat,
Agar UMNO terus berdiri,
Ku li adalah pilihan kita yang paling tepat,

Khairi sukakan santan,
Abdullah sukakan buah pinang,
Usah dikata kenapa tak tawan Kelantan,
DAP sudah miliki Pulau Pinang,

Dulu Pak Lah,
Sekarang Ku Li,
Dulu rakyat gelisah,
Sekarang rakyat Puji,

Lubang kubur sudah digali,
Kini hanya tinggal dua nisan sahaja,
Apa lagi hendak dicari,
Kenapa takut hendak bersuara,

Akhir kalam, semoga ahli UMNO seluruh Malaysia memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada bakal Presiden yang baru iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Usah ragu dengan tawaran beliau kerana kita perlukan dia.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Fitna Satu Penghinaan

Posted in PK Semasa on March 31st, 2008 by yiemega

 

Sebuah filem yang secara terang-terangan menghina Islam adalah Fitna. Filem pendek ini memaparkan keganasan yang dikaitkan dengan ayat-ayat Al-quran. Penayangan filem ini menimbulkan kemarahan umat Islam di seantero dunia termasuklah Malaysia.

“Kami tidak boleh terima alasan yang dibuat oleh mereka yang mengatakan membuat filem ini berdasarkan kebebasan bersuara, kerana dengan membuat perkara ini akan menambahkan lagi masyarakat Islam dengan agama lain” itulah antara petikan-petikan yang diambil oleh orang Islam di Malaysia.

Pada pandangan penulis Fitna satu filem yang menghina Islam. Mengapa mereka suka membuat filem-filem yang menghina Islam? Apa salah umat Islam kepada mereka?.  Penulis mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran filem yang boleh mengakibatkan pergaduhan antara agama ini, kepada blok barat atau lebih tepat lagi blok Yahudi, kamu kena sedar bahawa masyarakat Islam ada maruah.

Penulis difahamkan filem ini telah dimuat naik di sebuah laman web video popular di kalangan pengguna internet iaitu youtube. Penulis pun hairan mengapa youtube masih mengekalkan kandungan video tersebut. Bak kata Nabil Rajal Lawak 2 “Lu fikir lah sendiri”.

Akhir kalam, wahai orang-orang yang beriman bersatulah menentang satu penghinaan terhadap Islam. Islam adalah sejahtera bukan pengganas.  Semoga umat Islam tidak diperlekehkan lagi pada masa-masa yang mendatang.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,

Jom Sokong Tengku Razaleigh Jadi Presiden UMNO

Posted in PK Semasa on March 31st, 2008 by yiemega

Ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah Part 1

 

Ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah Part 2

Ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah Part 3

 

 

 

YBM Tengku Razaleigh Hamzah

Assalamulaikum w.bt,

Penulis merasakan sudah tiba masanya untuk kita untuk memberi peluang kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi Presiden UMNO yang baru.

Tuan/tuan dan Puan-Puan,

Kita telah menyaksikan dengan begitu jelas pada Pilihan Raya Umum Ke 12 baru-baru ini. Kini sudah terbukti UMNO perlu dirawat segera, pemimpin yang kita perlukan di masa sekarang ini ialah Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah. Belia ialah tokoh yang betul-betul layak bagi merawat luka UMNO.

Kita lihat dewasa pelbagai isu yang timbul yang tidak dapat ditangani antaranya ialah:

Krisis Perlantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu

Krisis kenaikkan harga minyak

Matawang Thailand Semakin Meningkat

Kurang Kepercayaan Pelabur.

Penyalahgunaan Kuasa.

Politik Cantas Mencatas / Cah Keting.

Jika tuan-tuan dan puan-puan sayang UMNO berilah sokongan kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah. Berikanlah peluang agar Yang Berhormat Mulia menunjukkan kehebatan pemerintahanya.

Fikir-fikirkanlah, Hidup Tengku Razaleigh, Hidup UMNO jangan sampai UMNO dikuburkan baru nak fikir kita perlu tukar Presiden, mulakan langkah anda dari sekarang.

 

HIDUP TENGKU RAZALEIGH, HIDUP UMNO

Tags: , , , , , , , , , , ,